G2G Animal Garden MAEPS

Assalamualaikum..

Agak lama menyepi kerena sesi persekolah sudah bermula. Seronokkan,,,dah masuk tahun 2020. Masa kecik dulu selalu nyanyi lagu Wawasan 2020. Masa diploma pun kena hafal apa yang terkandung dalam Wawasan 2020. Nasib baik masa degree dah tak perlu hafal.hihi..Akhirnya sampai juga kita ke tahun 2020 😊

Sebelum cuti sekolah tamat, kami suami isteri baru terfikir nak bawa anak - anak berjalan. Tahu tak? Sebelum tu, kami ke satu kedai di BBU (Bandar Baru Uda). Motif asal nak beli makanan ikan je. Masuk je dalam kedai, terlupa niat asal sebab tengok banyak sangat terumbu karang yang cantik - cantik. Anemone pun ada. Agak lama juga kami di situ. Owner kedai pun seorang yang tak kedekut ilmu. Dia bercerita pada kami serba sedikit tentang penjagaan dan pemakanan terumbu karang tu. Sambil tu, anak - anak seronok juga melihat ikan - ikan dalam aquarium di situ. So, kami terfikir la untuk bawa mereka ke Aquaria KLCC. Kami pernah pergi ke sana tapi waktu tu, Ammar & si adik masih kecil dan mereka tak faham lagi tentang apa yang mereka tengok waktu tu.

Bincang punya bincang, si suami kata on, saya pun teruslah Google mana lagi tempat menarik yang kami boleh pergi. Takkan la pergi KL semata - mata nak pergi Aquaria sahaja kan? Memandangkan kami akan pergi pada cuti Hari Krismas, jadi kami siap - siap dengan perancangan perjalanan selama kami di KL. Tiket Aquaria, kami siap - siap beli online untuk mengelakkan perlu beratur panjang. Memandangkan anak - anak kami suka melihat haiwan, jadi kami Google la tempat haiwan - haiwan yang ada di sekitar KL dan Selangor. Kami tertarik dengan G2G Animal Garden kerana ianya berkonsepkan petting zoo dan yang lebih menarik ialah ianya diusahakan oleh bumiputera muslim. Biasanya bila kita ke zoo, kita hanya dapat melihat haiwan - haiwan dari kejauhan kan? Di G2G Animal Garden, kita dapat pegang haiwan - haiwan di sini kerana kebanyakan haiwan - haiwan di sini adalah farm animals. Harga tiket pun affordable la bagi kami 😁

Dewasa - RM 20
Kanak -kanak - RM 15
Warga emas - RM 15
Pakej family- RM 60 (2 dewasa + 2 kanak -kanak)
Kanak - kanak di bawah 90cm, tidak dikenakan bayaran masuk

Memandangkan kami berlima, jadi kami beli pakej family (RM 60) + seorang kanak - kanak (RM 15). Total RM 75, save RM 10 😂 Di pintu masuk, terdapat pelbagai souvenir yang menarik. Memandangkan pintu masuk dan keluar adalah pintu yang sama, jadi kami hold dulu untuk beli souvenir 😄 Disebabkan kami pergi pada hari Public Holiday, pengunjung agak ramai juga. 

Selesai membeli tiket, destinasi pertama kami adalah Bird Aviary. Masuk sahaja, riuh rendah bunyi suara Macau. Biasa kita panggil burung kakak tua (lagu feveret saya masa tadika 😆) 

Spesis Macau ni kami pernah tengok di KL Tower Mini Zoo


Si merah ni, dia punya bising, kalah Mami Jarum 😆 Riuh betul. Tak tau la apa yang nak disampaikan tu..kiki

Cik Pinky ni diam dan sopan je dia. First time tengok burung warna pink 😃

Ini pula ayam spesis Brahma dari India. Saiz ayam ni lebih besar dari ayam biasa dan di kakinya ada bulu. Dah macam berstokin kan kakinya 😆

Para pengunjung juga boleh beli kuaci & seeds untuk bagi makan burung & ayam dengan harga RM1.00 secawan.


Tengok la Si biru kuning ni. Dia suka mematuk. Pengunjung lain yang letakkan dia di bahu pun dipatuk juga. Luka juga telinga Afiq dipatuknya. Saya cepat - cepat sapukan eo Lavender. huhu..

Selain burung Macau dan ayam Brahma, burung merak pun ada. Tapi mereka lebih selesa berada di atas. Ada juga pelbagai jenis burung kecil dan ayam belanda. Sebelum keluar dari Bird Aviary, kami cuci tangan dulu di sink yang disediakan. Apa yang kami perhatikan, sink disediakan di setiap stesen. Bagus kan? Jadi, ibubapa tak perlu risau jika anak - anak memegang haiwan - haiwan yang ada di sini. Seterusnya, kami ke cat house. Ada 2 cat house tapi kecil sahaja saiznya. Kami masuk ke cat house di sebelah kiri. Masa tu, hanya ada petugas cat house tu seorang sahaja. Jadi, kami seronok dapat tengok hamster, hedgehog,sugar glider,guinea pig dan semestinya kucing la dalam tu. Hanya 2 ekor kucing sahaja yang lepas bebas dalam tu.


Mereka tengah syok tidur

Tak lama lepas tu, dah ada pengunjung lain yang masuk, jadi kami pun keluar dan jenguk ke cat house yang di sebelah kanan. Punyalah ramai orang. Macam datang beraya pula. Tak jadi la kami nak masuk. Di tepi cat house, ada juga beberapa arnab yang diletakkan di dalam sangkar.

Kami ke Rabbit Garden pula. Di sini, pengunjung boleh pegang arnab. Nak peluk pun boleh. Hihi..



Sambil anak - anak 'bermesra' dengan haiwan - haiwan, kami akan tanya mereka beberapa soalan berkaitan haiwan tersebut. Seronok berjalan sambil belajar. Macam zaman kita sekolah dulu - dulu la kan.. Lawatan sambil belajar. Bukan setakat pergi lawatan tanpa ada apa - apa input kan. 

Kemudian, kami ke Goat House pula. Dari Rabbit Garden ke Goat House, kami melalui sangkar Pigeon. Pelbagai jenis merpati yang kita boleh tengok. Bukan setakat yang hitam dan putih yang biasa kita tengok kat tepi jalan tu. Untuk pengetahuan semua, merpati ni haiwan istimewa yang selalu disebut dalam Al - Quran tau.

 Kesian tengok pak cik melayan perasaan sorang - sorang. Jadi saya ambillah gambar dia yang hensem ni 😉

Saya pun first time sebenarnya pegang biri - biri ni. Kasar betul ya bulu dia. Kami pegang pula tanduknya memandangkan dia hanya redha. Owhhh...begitu ye kerasnya tanduk mereka. Now we know 😆

Seterusnya, kami ke kandang rusa pula. Rusa - rusa ni, kami dah biasa tengok di Zoo Johor cuma anak - anak seronok nak bagi makan. Kami beli roti yang dipotong - potong yang juga berharga RM1.00 secawan. Seronok rusa - rusa ni dapat makan sampaikan bila kami dah nak balik, cuba bagi makan lagi tapi semua dah lari ke tempat teduh. Mungkin semuanya dah kenyang.



Kemudian, kami ke Reptile House pula. Dari tempat rusa ke Reptile House, kami melalui Fishing Pond. Seronok tengok kanak - kanak cuba menyauk ikan - ikan kecil di dalam bot. Dengan bayaran RM 5.00, kita boleh membawa pulang ikan - ikan yang dapat ditangkap. Anak - anak kami pun teruja nak menyauk ikan tapi disebabkan kami banyak lagi destinasi untuk dituju, takut mati ikan tu nanti. So, tak boleh la mereka merasai keseronokan menyauk ikan.

Di Reptile House, saya menggalakkan anak - anak pegang dan rasai sendiri bagaimana rasanya kulit haiwan - haiwan reptilia.
 Muka cuak kena pegang ular 😁

 Muka bangga berjaya pegang ular 😂

Antara 2 orang ni, siapa yang takut agaknya ye? 😆

Di Reptile House, bukan hanya ada ular sahaja. Ada katak, iguana, spesis keluarga cicak dan beberapa lagi haiwan reptilia lain. 

Seterusnya, kami ke Goat Farm pula. Selama ni hanya pernah tengok dalam TV sahaja rupa kandang kambing. Kali ini, kami dapat merasai berada di kandang kambing. Agak jakun juga tau 😆 Ketibaan kami disambut dengan 'senyum kambing' oleh mereka yang comel ni.


Comelkan mereka 😤

Angsa pun ada tapi jangan risau, mereka tak kejar kita 😁

Seronok tau! Anak - anak dapat menyaksikan kambing buang air kecil dan juga air besar 😆 Itu pun salah satu sesi pembelajaran untuk anak - anak juga kan? Kami pernah menyaksikan gajah buang air kecil semasa di Zoo Melaka. Rasanya lebih 1500ml sukatannya. Hihi...Untuk kami suami isteri ni, memang lah pernah menyaksikan kambing 'membuang' tapi bagi anak - anak 'jaman now', susah nak tengok kan. Hanya dapat tengok hutan batu sahaja. Kami sempat juga menyaksikan 2 ekor kambing beradu kekuatan. Kami dan beberapa pengunjung di situ turut bersorak. Seronok kan? Pengalaman yang bagus untuk kanak - kanak.

Pengalaman adalah guru yang paling berharga kerana tak semua orang melalui pengalaman yang sama. Betul tak? Di G2G Animal Garden, anak - anak dapat mendekati haiwan dengan lebih teliti dan anak - anak sangat seronok.

Pada mulanya, hanya kami sahaja berada di sini. Seronok dapat melihat pelbagai aksi dan bunyi mereka. Ada juga 'group' ibu bunting dalam 1 kandang. Selesai menjelajah Goat Farm, kami ke tempat Ostrich, Raccoon, meerkat, praire dog, dan squirrel pula. Setelah 2 jam berjalan dalam G2G Animal Garden, anak - anak sudah mula resah. Haus dan kepanasan.
Masing - masing dah kehausan tapi abang - abang masih boleh tersenyum. Syabas anak - anak ibu. 

Di samping belajar tentang haiwan, mereka juga perlu belajar bersabar dalam kesusahan, bersabar jika lapar dan haus dan juga bersabar dengan keadaan cuaca yang panas 😊

Si comel meerkat

Sebelum ke stesen seterusnya, kami singgah ke Activity Hall untuk membasahkan tekak dan rehat sambil melihat gelagat pengunjung - pengunjung lain. Seronok! Sangat seronok dapat melihat keluarga yang datang dari pelbagai negeri, meluangkan masa bersama anak - anak. Sesudah mendapat tenaga kembali, kami terus bergerak ke stesen terakhir iaitu Pony dan Chicken Farm.  

Antara semua spesis ayam yang ada di situ, ayam ni sahaja yang menarik minat kami kerana ianya mempunyai 'rambut' dan bulu di kaki. Tapi agak susah nak 'capture' gambar dia ni. Tak reti duduk diam 😂 Ini adalah ayam baka Sultan. Ayam ini biasanya hanya untuk perhiasan dan dipelihara di taman semasa Kesultanan Uthman.

 Sebelum keluar, dapat jumpa dengan Peter Rabbit 😁

Berakhir sudah penjelajahan kami di G2G Animal Garden yang memakan masa hampir 3 jam. Walaupun kawasannya tidaklah seluas Zoo Negara mahupun Zoo Melaka, tetapi anak - anak seronok dapat mendekati haiwan - haiwan yang berada di situ. Perut kami sudah pun berkeroncong. Pada mulanya, tak terfikir nak makan di situ tetapi disebabkan kami park kereta betul - betul di tepi Teknokafe dan melalui kawasan kambing bakar, aromanya seperti memanggil - manggil kami supaya merasai makanan yang berasaskan daging kambing. Cafe yang pada awal kedatangan kami hanya kosong, telah dipenuhi dengan pengunjung yang juga mahu memenuhi perut yang sudah lapar.

Antara menu yang kami cuba ialah lamb chop dan pizza bbq lamb. Kesedapannya,,hmmmm...memang tak tergambar oleh kata - kata 😍 Keluarga kami bukan jenis 'food hunter'. Setiap kali kami travel, kami tidak akan mencari tempat makan yang menarik. Kebiasaannya, di mana kami berhenti, di situlah kami akan makan hatta di celah lorong sekalipun 😊 asalkan makanan tersebut dapat memberi kami tenaga untuk meneruskan perjalanan.

Lamb chop ini berharga RM20.00 dan pizza bbq lamb pula berharga RM28.00. Harga yang sangat berbaloi. Hanya 2 pinggan ini sahaja cukup untuk kami berlima makan 😉

First time kami makan pizza kambing dan lamb chop. Pernah makan pizza kambing? Mungkin hanya di sini anda dapat merasainya. Cebisan daging kambing bakar yang ditabur di atas pizza, menambah kelazatan. Rasa dan aromanya memang tiada bandingan. Sebelum ni, kami pernah beberapa kali beli kambing bakar di bazar ramadhan dan juga FESKO tetapi yang ini, memang rasanya sangat lazat.  Jika anda ke G2G Animal Garden, jangan ragu - ragu untuk mencuba menu yang ada di Teknokafe. Bagi saya, kelazatannya boleh diberi 10 bintang. Betul! Rasa seperti mahu ke sana lagi semata - mata untuk menikmati kelazatan daging kambing bakarnya. 😄


Comments

Popular posts from this blog

Coffee Trip Part 1

Coffee Trip Part 2

Rumah Klasik Kuantan